Monday, February 7, 2011

Blog Wan Ssei kena hack!!! Arghhh..

Cane la tibe2 ada post yang cakap korang menang loteri. Wan Ssei tengah cari punca ni. ARGGHH!!!

Wednesday, February 2, 2011

Krisis di Mesir : Kerajaan perlu bertindak segera sebelum terlambat

Harakahdaily   
KUALA LUMPUR, 2 Feb: PAS mendesak kerajaan bertindak segera sebelum terlambat dengan menghantar kapal terbang bagi membawa keluar seluruh pelajar dan rakyat Malaysia daripada Mesir yang kini kian meruncing akibat kebangkitan rakyat terhadap pemerintahan 30 tahun Hosni Mubarak.  
“Memandangkan keadaan di Mesir yang tidak menentu bahkan keadaan bertambah kritikal, sewajarnya tindakan segera perlu diambil,” kata Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam satu kenyataan ke Harakahdaily.

Tuan Ibrahim turut berkata kerajaan persekutuan mesti memberikan keutamaan kepada keselamatan nyawa rakyat Malaysia kerana keadaan di Mesir semakin tidak terkawal sekarang dan tiada tanda-tanda yang ianya akan reda dalam masa terdekat.

Sebelum ini, ramai yang membidas kelambatan kerajaan Malaysia dalam membuat keputusan untuk membawa lebih kurang 10,000 pelajar negara yang kini terkandas di Mesir berbanding negara jirannya, Indonesia.

Pada petang semalam, Indonesia dilaporkan akan menghantar sebuah pesawat sewa khas untuk memindahkan rakyatnya yang berjumlah 6,200 orang dari negara itu manakala kerajaan Malaysia masih lagi sedang menimbang menggunakan kapal serbaguna Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang sedang bertugas di Teluk Aden, Timur Tengah untuk operasi pemindahan pelajar-pelajar Malaysia yang kini berada di Mesir.

“Kalau pihak kerajaan beria-ia menghantar misi pengaman ke beberapa negara untuk keselamatan dan keamanan negara luar, apakah keselamatan rakyat tidak menjadi keutamaan?

Sudah sampai masanya kerajaan menghantar penerbangan khas bagi membawa keluar rakyat Malaysia, sebagaimana yang dilakukan oleh kebanyakan negara barat bagi menyelamatkan warga negara mereka yang melancong ke Mesir,” bidas Tuan Ibrahim.

Mengenai keadaan di Mesir, Tuan Ibrahim berkata hanya dengan peletakan jawatan seluruh rejim Mubarak dan satu pilihanraya bebas boleh menstabilkan kembali keamanan di negara tersebut.

“Kita tidak mahu nasib rakyat Mesir menjadi mangsa campurtangan luar, sebagaimana berlaku di Iraq akibat seorang pemimpin, maka negara hancur,” katanya yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang.

Sementara itu, pada pukul 1 pagi selepas laporan ini ditulis, Bernama telah melaporkan bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akhirnya telah memutuskan untuk membawa keluar pelajar-pelajar Malaysia dari Mesir menerusi laut dan udara.

Mengikut laporan Bernama, keputusan itu dibuat setelah mendapat laporan daripada delegasi Malaysia ke Mesir yang diketuai Timbalan Menteri Luar A. Kohilan Pillay dan turut disertai Setiausaha Politik Perdana Menteri Datuk Sahlan Ismail.
“Beberapa langkah segera akan diambil untuk membawa keluar pelajar-pelajar kita dari Mesir. Kapal itu dijangka tiba di Pelabuhan Adabiah pada 5 Februari. Ia dapat memuatkan kira-kira 500 pelajar kita,” Najib dipetik sebagai berkata.

Najib juga dipetik sebagai berkata bahawa syarikat penerbangan Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) dan AirAsia telah diminta untuk melakukan penerbangan khas ke Kaherah untuk membawa keluar pelajar-pelajar Malaysia.

“Mereka (MAS dan AirAsia) akan memaklumkan kepada saya Rabu mengenai kemungkinan menggunakan pesawat mereka untuk tugas ini," katanya.

Dalam pada itu, blog (http://krisismesirnasibrakyatkita.blogspot.com/) yang melaporkan berita-berita terkini keadaan pelajar-pelajar Malaysia mengesahkan bahawa Putrajaya telah mengeluarkan satu kenyataan rasmi tengah malam tadi bahawa mereka akan dikeluarkan menggunakan kapal yang berlabuh di Teluk Aden.

“Pelajar di Alex sudah mula mengemas dan berkumpul untuk bersedia dibawa keluar dari Mesir melalui kapal terbang dan dibawa keluar dari Mesir. mereka akan dipindahkan ke negara berjiranan Mesir, BUKAN DIHANTAR PULANG,” kata blog itu lagi.